Wednesday, March 17, 2010

KELAS PERTAMA


Seketika menjadi panel forum dalam majlis yang serba ringkas bersama dengan Balai Islam Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman (ASTAR). Membincangkan tajuk persoalan Mahasiswa Minda Kelas Pertama”. Terasa segan untuk menerima undangan sebagai panel kerana apabila melihat kepada persediaan dan bekal yang ada ini, belum cukup mampu untuk memberi kepada sahabat-sahabat yang lain. Apatah lagi,yang berada di hadapan adalah mahasiswa-mahasiswa dari fakulti perubatan ,alam bina dan kejuruteraan. Namun bila teringat kepada sabda Rasululah SAW :

من سئل عن علم فكتمه الجمه الله يوم القيامة بلجام من النار

Maksudnya: “Barangsiapa yang diminta untuk memberikan ilmu tetapi dia menyembunyikannya,nescaya akan dikekang mulutnya dengan kekangan api neraka.”


Mudah-mudahan sedikit perkongsian dalam forum lalu, memberikan saham akhirat kepada diriku dan sahabat-sahabat yang hadir dalam majlis ini.

Menjawab soalan bagaimana cara-cara untuk menjadi mahasiswa kelas pertama. Pertamanya, setiap manusia perlu ada hubungan denga Allah SWT. Perlu ada rasa cinta dan taqwa yang mendalam kepada Maha Pencipta Yang Esa. Kerana itu Rasulullah bersabda:

اتق الله حيثما كنت وأتبع السيئة الحسنة وخالق الناس بخلق الحسن

Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana jua kamu berada,dan kejahatan akan terhapus dengan kebajikan dan jadilah manusia yang menjadi pembentuk sikap yang baik kepada manusia yang lain.”

Kerana itu manusia yang berjaya menguasai hal dunia dan akhirat adalah mereka yang berjaya disebut al-falah. Berbeza bagi mereka yang hanya beroleh kejayaan dunia tanpa akhirat. Mereka ini sekadar digelar al-najah. Kita boleh meneliti sirah perjuangan yang hidup dalam keadaan taqwa dan berjaya membentuk malah menghasilkan ramai khalifah dan pemerintah serta manusia yang berjiwa tinggi kepada Allah Taala. Lihat saja kepada Khalifah Islam yang empat, para sahabat yang dijanjikan dengan syurga tanpa hisab, para imam mujtahid yang hebat dan ramai lagi para tabiin yang mempunyai iman dan taqwa yang mantap.

Langkah yang kedua adalah dengan menjalinkan hubungan yang baik sesama manusia. Mereka yang dapat menjalinkan hubungan silaturahim inilah mereka yang sebenarnya mempunyai minda kelas pertama. Kerana ilmu dan pengetahuan yang terdapat pada diri mereka bukan sekadar untuk diri sendiri malahan juga kepada sahabat-sahabat dan member manfaaat kepada sesiap sahaja yang berada dengannya.

خير الناس أنفعهم للناس

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang member manfaat kepada orang lain.”

Mari pula kita merenung sejenak sabda Nabi kita yang mulia:

حق المسلم للمسلم ستة : إذا لقيته فسلم عليه , وإذا دعاك فأجبه وإذا استنصحك فاصحه , وإذا عطش فحمدالله فشمته , وإذا مزض فعده وإذا مات فاتبعه .

Maksudnya: “Hak seorang muslim kepada muslim itu enam: Apabila bertemunya hendaklah kamu memberi salam,apabila menerima jemputan darinya, maka terimalah,apabila diminta nasihat berilah nasihat kepadanya, apabila sahabatmu bersin ucaplah doa kepadanya,apabila saudaramu sakit, ziarahilah dan apabila saudaramu meninggal dunia maka kunjungilah jenazahnya.”

Insyaallah, sekiranya pesanan baginda ini sentiasa menjadi peringatan kepada diri kita, tidak mustahil kita mampu untuk berada dalam golongan kelas pertama iaitu mereka yang berjaya menjaga hubungan dengan tuhannya dalam masa yang sama tidak lupa hubungan sesama manusia.


SEMOGA BERSAMA GENERASI AL-QURAN


Zahiruddin Zainon

Petaling Jaya,Selangor

No comments: