Catatan ini khas aku titipkan kepada semua pelajar-pelajar tingkatan 4 Omar Sek.Men.Agama Kuala Lumpur (SMAKL).Walaupon hanya beberapa bulan sempat bersama-sama dengan mereka,namun aku melihat kesungguhan dan ketekunan yang begitu tinggi ketika sesi pembelajaran.Selama lebih kurang 4 bulan, bermula daripada bulan januari hingalah semalam 30 April ,ditaklifkan menjadi guru sementara kemahiran al-quran untuk pelajar-pelajar SMAKL.Terlalu banyak yang ingin ku luahkan dan dan berkongsi dengan semua pelajar-pelajar ini.Namun,masa mengatasi segala-galanya.Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya.Begitu juga dengan pertemuan pasti perpisahan menjadi titik nokhtahnya.
puteri-puteri 4 Omar SMAKL
Di kesempatan ini,aku ingin menyusun sepuluh jari buat semua pelajar-pelajar ku andai kata ada terkasar bahasa atau tidak sempat untuk menyampaikan beberapa lagi perkara-perkara penting untuk bekalan kamu semua.Jiwaku mula bersemarak dengan semangat untuk menjadi pendidik kepada anak bangsa sejak diberi peluang untuk mengajar kalian.Saban minggu,hatiku ternanti-nanti masa dan ketika untuk menluahkan ilmu kepada pelajar-pelajar SMAKL.Aku yakin,kalian adalah insan-insan yang terpilih.Berkesempatan untuk mecari kerlipan mutiara ilmu dan hikmah dalam suasana dan tempat yang baik.
Sebaik berpijak di bumi SMAKL,fikiranku ligat terkenangkan suasana dan biaah yang sama pernah ke tempuhi di bumi Maahad suatu masa dulu.Sejuk hati sebaik anak mata melihat putera-putera islam mengenakan baju putih dan bersongkok hitam.Syahdunya melihat srikandi-srikadi ummah bertudung labuh sambil tekun mentelaah pelajaran.Manisnya bicara,lembut pekerti membuatkan hati terasa sebak saat kaki melangkah keluar meninggalkan bumi SMAKL. Adakalanya ketika tersedar di malam hari,tidak pernah ku lupakan untuk titipkan kalungan doa buat kalian semoga dipermudahkan segala urusan dan menjadi insan yang berbakti kepada agama dan negara.Sentiasa ku doakan moga kalian sentiasa mendapat kejayaan dan menjadi anak-anak yang soleh.Apakah ertinya sebuah kejayaan jika kita tidak tidak bersyukur dan berterima kasih kepada Maha Pencipta,ibu bapa dan guru-guru kita.Berdoalah dan jangan sesekali meninggalkan solat tanda kita hamba yang bersyukur atas segala nikmat yang diberikan. Pesan ku agar kalian sentiasa ingatkan Allah Swt. Ini kerana perjalanan kita masih jauh dan kita sememangnya memerlukan pertolongan Allah Swt agar kita selamat di dunia dan akhirat. Kadangkala kita terleka dan sering terlupa kepada Allah Swt. Namun andaikata suatu hari nanti kalian tergelincir dari landasan akibat lalai dan terleka atau kalian berada dalam kesusahan dan kesempitan hidup atau kalian mahukan pertolongan dan hajat atau kalian tiada tempat untuk mengadu dan merintih. Maka kembalilah ke jalan Allah kerana Allah sentiasa bersama kita waktu kita memerlukan pertolonganNYA.
Tiada siapa dapat membantu dan menolong kita ketika kita menghadapi saat-saat kesukaran dalam kehidupan kecuali Allah yang maha pengampun, pengasih dan penyayang.
SEMOGA BERSAMA GENERASI AL-QURAN
Zahiruddin Zainon,
Petaling Jaya,Selangor.