Tuesday, December 28, 2010

Singgah Melaka

Pulang dari Pasir Gudang, singgah solat jamak taakhir di Masjid Negeri Melaka, masjid A-Azim. Masjid sebesar dan sehebat namanya juga. Yang Agung, Yang Besar.


Alang-alang dah masuk Melaka, terus menjelajah ke A Famosa. Bukan senang nak sampai pula kalau tiada hajat dan keperluan yang penting. Jalan-jalan sambil melihat seni tinggalan sejarah yang terhias pada bangunan-bangunan lama.

Masa kecil-kecil dulu, kalau cuti minggu, abah & mak selalu bawa keluar jalan-jalan di taman-taman, berkelah di air terjun dan ziarah rumah saudara mara.

Tapi sejak anak-anak semakin besar ni, ada yang masuk sekolah berasrama, universiti, kerja, sibuk pastu terus kawin. Jadi peluang bersiar-siar seperti dulu semakin sukar. Kesempatan yang jarang berulang ini, pantas di sambut.


Tak banyak bezanya, cuma bertambah bilangan kaum kerabat ja. Semua 7 pinggan tolak 3 pinggan tertinggal di Pasir Gudang. Kesian.......

Monday, December 27, 2010

jimba utara selatan

24 - 27 Disember 2010, kami sekeluarga berjimba - jimba dari hujung utara ke hujung selatan. Dari Jitra, Kedah ke Pasir Gudang, Johor. Tapi jimba-jimba kami adalah jimba yang di bolehkan untuk solat jamak & qasar, bukan yang dimakruhkan, yang haram jauh sekali.

Ziarah kakak dan anak-anaknya di Pasir Gudang sambil-sambil test drive kereta(test duduk ja) Starex baru abang punya. Buleh gagah la.

kredit pic dari blog kak muteh

Yang best, dapat juga bergambar family anak cucu sebelum berangkat pulang ke Kedah. Alhamdulillah setakat ni menantu & anak-anak saudara tak berapa nak ramai lagi. Tapi 4, 5 tahun lagi mungkin dah tak muat kot nak bergambar semua dalam gambar. "Pinggan" pon kena tambah gamaknya.
inilah yang ada sekarang.

Tuesday, December 07, 2010

Salam Maal Hijrah 1432

Hijrah....
suatu pengajaran dan pengalaman.....
juga membentuk peribadi dan akhlak
.......

Friday, December 03, 2010

Pewaris Nabi...



Mencari ketenangan dan Kebahagiaan..berdampingan di sisi ulama dan auliya...

Thursday, December 02, 2010

aku masih pelajar...



Subhanallah.. .Cepat sungguh masa berlalu.Sedar-sedar sekarang dah habis semester ke 7 pengajian di UM. Masih berbaki 4 bulan untuk semester akhir dan 2 bulan untuk latihan mengajar (LM).Tapi masih celaru dan keliru, apa yang aku sudah dapat dan sudah boleh memberi kepada orang lain.Aku masih terlalu jauh dibandingkan dengan para ilmuan,ulama dan fuqaha. "Nabi Muhammad saw tidak meninggalkan wang dan harta sebagai warisan kepada kita,apa yang di tinggalkan hanyalah ilmu.Ulama pewaris kenabian."


Dihitung ,lebih kurang 4 tahun mengejar ilmu di UM, 6 tahun di sekolah menengah, 6 tahun di sekolah rendah dan setahun mula mengenal asas-asas pembelajaran di alam tadika. Jumlahnya 17. 17 tahun secara rasmi menimba ilmu dan pengetahuan. Itu yang dapat kita hitung sebab, kita nampak dan kita rasa. Hakikat yang sebenarnya kita belajar lebih dari itu. Pembelajaran kita bermula sejak berada dalam alam buai dan akan tamat selepas ajal bertandang kepada kita. Nabi bersabda :

اطلبوا العلم من المهد الى اللهد

Tuntutlah ilmu sejak berada dalam buai hinggalah ke liang lahad.

Orang-orang tua juga selalu menyanyi-nyanyi dan berpesan kepada kanak-kanak sambil mengayunkan bayi dalam buai :

Buai laju-laju sampai ucuk atap,

Belum tumbuh gigi dah pandai baca kitab

Maksudnya, pembelajaran kita tidak hanya di sekolah,sebenarnya pembelajaran juga telah, sedang, sentiasa,akan dan terus berlaku selagi kita masih hidup……….



Allah berfirman dalam surah al-hajj ayat 5 :



Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), Maka (ketahuilah) Sesungguhnya kami Telah menjadikan kamu dari tanah, Kemudian dari setetes mani, Kemudian dari segumpal darah, Kemudian dari segumpal daging yang Sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar kami jelaskan kepada kamu dan kami tetapkan dalam rahim, apa yang kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, Kemudian kami keluarkan kamu sebagai bayi, Kemudian (dengan berangsur- angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (adapula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya Telah diketahuinya. dan kamu lihat bumi Ini kering, Kemudian apabila Telah kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.

Pernah atau tidak kita berfikir, siapa yang mengajar sepasang sperma daripada berjuta-juta untuk berenang menuju ke dalam ovum.

Siapa juga yang mengajar anak di dalam kandungan untuk makan dan minum malah bernafas di dalam perut ibu yang sempit dan gelap gelita.

Malah Seorang ibu yang mengandung juga sebenarnya mengajar anaknya, membaca ayat-ayat suci al-quran,selawat dan berdoa kepada kandungannya walaupon anak yang dikandung belum tentu taqdirnya selamat atau tidak.

Pokok pangkal itulah detik-detik permulaan kita mula mengenal erti BELAJAR.Dan kita belajar untuk menjadi orang yang berjaya dunia dan akhirat.


..
Oleh itu berazamlah, selagi nyawa masih di badan maka selagi itulah kita harus menuntut ilmu. Kejayaan semanis madu memerlukan pengorbanan sepahit hempedu..Jom belajar dan terus belajar!!!!!


Thursday, September 23, 2010

anak perantau di Bumi Andalusia

Salam lebaran dan perantauan dari Bumi Andalusia.
jamuan hari raya di rumah sewa hayyu 19,PJ
menu jamuan hari raya
salam perantauan dari kami...pelajar Dirasat Islamiyyah Jamiaah Morocco (UM) ~_^ hehe...doa2

Monday, July 26, 2010

Wanita Tersanjung


فالدنيا مؤنثة .....والناس يخدمونها ..... و الذكور يعبدونها

والأرض مؤنثة ..... ومنها خلقت البرية , وفيها كثرت البرية

والسماء مؤنثة ..... وقد زينت بالكواكب , وحليت بالنجوم الثواقب

والحياة مؤنثة ..... ولولاها لم تتصرف الأجسام ولا يتحرك الأنام

والجنة مؤنثة ..... وبها وعد المتقون ..... وفيها يتنعم المرسلون


Duhai wanita,

perkataan dunia itu bersifat muannath...manusia berkhidmat dengannya...lelaki pula sujud kepadanya

perkataan al-ardh (bumi) itu bersifat muannath...daripadanya tercipta manusia dan tersebar zuriat keturunan mereka

Perkataan al-sama' (langit) bersifat muannath...sesungguhnya ia dihiasi cakerawala...diperindah dengan bintang yang bersinar cahayanya

perkataan al-hayah (hidup) juga bersifat muannath...kalau tidak keranaya tidak bergerak jiwa raga manusia

perkataan al-jannah (syurga) juga bersifat muannath...orang-orang yang bertaqwa dijanjikan dengannya...dan para rasul dilimpahi nikmat dalamnya


Seindah dan semulia itu Allah menyanjungi wanita

maka peliharalah diri dan malu mu




Monday, July 19, 2010

Birthday Abah

Selamat Hari Lahir ke 60 untuk ABAH...

Nasib baik sempat tengok blog kak muteh & kak tam.Kalau tak,memang dah lupa....Awal-awal sem memang sangat-sangat sibuk.

Kredit gambar dari blog Kak Muteh....


Selamat Hari Lahir ke 60
Faqihah & spageti Mesir...Terbang jauh spageti tu

Semoga dipanjangkan usia dalam kebaikan dan kebajikan....Aminnnn..

Tuesday, July 06, 2010

Menginjak kenangan di Maahad

Kenangan selama 6 tahun kembali menjengah sebaik melangkah ke Maktab Mahmud. Tempat yang suatu ketika dahulu pernah menjadi medan aku berhempas pulas mencari sekelumit ilmu dan pengetahuan. Hari ini sengaja aku kembali memijak di bumi itu. Setelah 3 tahun berlalu,Ini mungkin kali kedua aku ke sini selepas peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Memori itu tak luput dalam kotak mindaku. Terkadang tika memori itu menggamit tiba, terasa menyesakkan dada lantas menghempas gelora di relung jiwa. Lalu mencorakkan ilustrasi nan berseri. Rindu kembali menggamit kenangan pahit dan manis di situ.

Hari ini ada urusan yang perlu di selesaikan di pejabat sekolah. Kebetulan minggu ini juga sedang rancak berlangsung minggu kokurikulum di dataran Maahad. Ingat lagi, di dataran ini lah tempat kami berjalan merentas benua dari utara ke selatan. Satu-satunya jalan yang menghubungkan antara bangunan putera dan puteri. Di sini juga juga jerit perih bergelar seorang pelajar berkorban masa dan tenaga untuk memastikan segalanya lancar. Wajah-wajah riang rakan-rakanku bersenandungkan keindahan berukhwah. Pasti tak akan luput di telan masa. Alhamdulillah, pengorbanan dan kesusahan kami dulu, ada generasi yang meneruskannya.

Rupanya aku tidak keseorangan. Irsyad, kawan sepengajian dan sepermainan di asrama dahulu.Kami kembali bertemu setelah 3 tahun membawa diri masing-masing. Seketika ralit berbicara soal diri dan kawan-kawan yang lain. Almaklumlah, dah lama tak jumpa. Insyallah, raya puasa tahun ni, kami akan buat reunion batch.
Maahad sudah di cat baru

Irsyad...kawan lama

Masjid tempat kami solat, usrah,mesyuarat,berkumpul dan selalu juga tidur di sini.

Sambil itu,hayunan kaki terus menuju ke dataran maahad.Tempat berlangsungnya Hari Kokurikulum. Suasana dan acaranya tak ubah seperti dulu. Terdapat gerai-gerai jualan makanan, minuman, cenderamata dan sebagainya di sepanjang jalan. Kebanyakkan persatuan mengambil bahagian dalam jualan ini, untuk mengumpul dana persatuan. Riangnya melihat telatah pelajar-pelajar yang bertungkus lumus menghias gerai dan memastikan gerai mereka sentiasa dikunjungi ramai. Dalam Dewan besar pula sibuk dengan hiasan dan persediaan Minggu Penghayatan Islam (MPI). Malamnya di isi dengan diskusi kitab bersama beberapa orang ustaz yang pernah menjadi guruku dulu. Antaranya Al-Fadhil Ustaz Fadhil Hj Awang, Ustaz Fauzi Tahir, pakar rujuk fiqh dan nahu, serta beberapa orang lagi ustaz yang hebat.


Terasa bagai semalam hari-hari itu berlalu. Suka duka, tangis ketawa dan pelbagai rasa jiwa yang melanda dibukukan di dalam hati. Dari hari ke hari, dari tahun ke tahun. Pantas!!! Saat melalui bangunan makmal sains yang menempatkan acara-acara eksperimen sains dan jemputan dari beberapa agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia. Aku pernah di sini 6 tahun yang lalu.2004 dan 2005. Belajar biologi, fizik dan kimia di sini bersama rakan-rakan. Tapi itu dulu.

Dari jauh kuntuman senyuman dihadiahkan buat kami dari beberapa wajah yang mungkin ku kenal. Berpelukan sambil berjabat tangan saat kami bertemu.Wajah adik-adik yang pernah bersama di asrama dulu. Jaraknya 4 atau 5 tahun. Namun alhamdulillah, generasi terakhir yang sempat bersama, ketika ini sudah di tingkatan 6. Tak lama lagi mereka bakal menduduki
imtihan STAM. Alahai,masing-masing mengadu gentarnya berhadapan dengan imtihan . Telinga hanya mendengar. Sambil-sambil itu, sempat juga memberikan sedikit semangat kepada adik-adik. Walaupon diri yang berkata ni pon bukanlah bijak sangat. :)
eksperimen di makmal sains

gerai jualan..tp napa pic pt3 ni??

mereka sekarang sedang memimpin pelajar-pelajar maahad..semoga berjaya

Seperti baru semalam bangunan sains dan asrama Rafeah itu ditinggalkan. Dan hari ini, aku kembali berada di sini. Berdiri menyaksikan tubuh - tubuh yang setia berkhidmat dan berbakti. Sesekali memandang juga ke arah asrama Rafeah yang terletak di belakang bangunan makmal. Tidak banyak yang berubah. Kenangan disitu bersatu kembali .Lima tahun di asrama sudah banyak yang dipelajari. Bermula aku di tarbiyah hinggalah mentarbiyyah adik-adik. Dulu tangan ini kerap merotan pelajar asrama yang melakukan kesalahan.Apatah lagi di waktu suboh.Rata-rata susah untuk bangun awal ke masjid.

Tapi, entah bila boleh bertemu dan makan bersama semula. Bersua dan bertepuk tampar dalam bicara-bicara gaduh tapi mesra. Berkumpul dan tidur sebantal sambil berceloteh kisah-kisah lama. Manis!!!Blok Sains..Dah semakin ceria..Dulu pernah study kat sini.

Tempat kami sama-sama bersantai sambil membasuh baju..hehe

Semuanya tinggal kenangan.Masa terus menginjak pergi. Benar firman Allah swt dalam al-quran

“Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”

Monday, July 05, 2010

Imam Syafie ilmuan teragung

Peluang yang cuma seketika berada di bumi Mesir seharusnya di manfaatkan dengan sebaiknya. Begitulah kami sekumpulan pelajar-pelajar Universiti Malaya yang di hantar untuk berkursus bahasa arab selama sebulan di Jamiaah Ain Shams.Selain sibuk dengan rutin harian iaitu menjalani pembelajaran bersama doktor-doktor di Jamiaah, hujung minggu kami tidak akan lepaskan peluang untuk berjalan-jalan dan menziarahi tempat-tempat di sekitar Bandaraya Kaherah. Berjalan dan melihat adat resam serta budaya orang arab yang sangat berbeza dengan melayu. Terpalit juga rasa janggal di benak sebaik melihat Kaherah tidak seperti Bandaraya Alor Setar jauh lagi Kuala Lumpur.Tetapi itu semua bukan kayu ukurnya.Kita punya kelebihan dari sudut pembangunan, tetapi tetap ada kekurangan dati sudut yang lain. Begitu juga Mesir , walaupon kekurangan dari sudut pembangunan dizahirkan, hakikatnya sehingga kini rasanya masih belum ada mana-mana negara yang mampu menandingi kehebatan tamadun dan sejarahnya sahaja sudah cukup untuk membuktikan kehebatan tamadun Mesir suatu ketika dahulu hatta digelar "ummu al-dunia". Bahkan perkembangan ilmu islam di sana jauh meninggalkan kita di belakang. Aku lebih kagum bila melihat rakyatnya yang dididik mendekati al-quran seusia muda. Kesannya ramai di antara mereka yang bergelar al-hafiz walaupon mereka hanya bergelar pemandu.Maka tidak hairanlah lahirnya ramai ulama-ulama terbilang di sini seperti imam al-Syafie rahimahullah.

Suatu saat, kami terpilih oleh Allah swt untuk mengunjungi makam Imam al-Syafie rahimahullah yang terletak di Jabal Muqattam. Kalau berkenderaan dengan bas dari Abbasiyyah iaitu tempat penginapan kami dan sebahgian pelajar-pelajar Malaysia lebih kurang "segenih" (1 junaih). Sebelum tiba di hadapan masjid Imam Syafie,kita akan melalui "suq syafie",iaitu pasar syafie.Mungkin dinisbahkan kepada kehebatan Imam Syafie.

Kepelbagaian manusia yang berkunjung ke sini bermacam-macam.Ada yang datang untuk bertawassul, bertabarruk, talaqqi al-quran, ziarah dan sebagainya. Apa yang pasti,makam imam Syafie terletak di dalam Masjid al-Syafie. Saat terpandang pada makamnya,terasa sayu bila mengenangkan perginya seorang mujtahid dan mujaddid yang hebat pada kurun ke 2 selepas Khalifah Umar bin Abdul Aziz.Sekitar dinding masjid terhias indah dengan beberapa potong ayat al-quran,hadis nabi dan kalam Imam Syafie.

Makam Imam Syafie.Orang ramai datang bertawassul dan berdoa di sekitarnya

Ketika ini,aku teringatkan keperihalan dan peribadi Imam Syafie yang hidup dalam kemiskinan, hingga beliau terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang untuk ditulis di atasnya. Beliau kadang-kala terpaksa ke tempat perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk menulis pelajarannya.Seusia 7 tahun sudah tamat mengahafal ayat al-quran manakala pada usia 13 tahun sudah mampu mengingati keseluruhan kandungan dalam kitab Muwattho' karangan gurunya Imam Malik Rahimahullah.Namun Allah swt membalas kesungguhan dan ketekunan Imam Syafie dengan memberi penghormatan dan kemuliaan yang tidak terhingga.

Selepas mengembara mencari ilmu, Imam al-Syafie pulang ke Makkah membawa bersamanya hasil usahanya di Yaman dan Iraq dan beliau terus melibatkan dirinya di bidang pengajaran. Dari sini muncullah satu bintang baru yang berkerdipan di ruang langit Makkah membawa satu nafas baru di bidang fiqah, satu nafas yang bukan Hijazi, dan bukan pula Iraqi dan Yamani, tetapi ia adalah gabungan dari ke semua aliran itu. Sejak itu menurut pendapat setengah ulama, lahirlah satu Mazhab Fiqhi yang baru yang kemudiannya dikenali dengan Mazhab Al-Shafie. Selama sembilan tahun (186 – 195H) Imam al-Shafie menghabiskan masanya di kota suci Makkah bersama-sama para ilmuan lainnya, membahas, mengajar, mengkaji di samping berusaha untuk melahirkan satu intisari dari beberapa aliran dan juga persoalan yang sering bertentangan yang beliau temui selama masa itu.

Kehidupannya yang bersifat warak dan pemurah. Hebatnya amalan Imam Syafie, sehinnga beliau mampu mengkhatam al-quran 60 kali dalam solat tarawikh ketika bulan ramadhan.Antara lain lagi,

وقال : أيضا : كان الشافعي قد جزأ الليل ثلاثة أجزاء: الثلث الأول يكتب ، والثلث الثاني يصلي، والثلث الثالث ينام

Sesungguhnya Imam Syafie telah membahagikan kehidupan sehariannya kepada 3 bahagian.Sebahagiannya untuk mengarang kitab-kitab,sebahgian lagi untuk bersolat malam dan sebahgian lagi untuk tidur.

Berjumpa Makam Syeikh Zakaria al-Ansori yang terletak sebelum makam Imam Syafie.

tapak kaki nabi

Sangat besar dan agungnya Imam Syafie, beliau meninggalkan banyak kitab-kitab islam yang menjadi rujukan dan kebanggaan umat islam hingga ke hari ini. Saat-saat nazaknya Imam Syafie,beliau telah berpesan kepada muridnya Imam Muzani :

أصبحت من الدنيا راحلا وللاخوان مفارقا ولكأس المنية شاربا وعلى الله جل ذكره واردا ولا والله روحي تصير الى الجنة فأهنئها أو الى النار فأعزيها ! ثم بكى أنشأ يقول :

"aku telah hidup di dunia ini,dan dengan dunia juga aku akan berpisah dari saudara-saudaraku,
akan tiba masanya aku meneguk peritnya kematian,Demi Allah ..aku tidak tahu kemana ruh ku akan pergi...ke syurga atau ke neraka. "


Pemergian Imam Syafie menjadi kehilangan yang terbesar dalam dalam sejarah penyebaran ilmu islam.Demikian sedikit coretan tentang seorang tokoh yang hebat dalam ilmuan islam sebaik memasuki bulan Rejab.Dikatakan Imam Syafie dilahirkan dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah dan kembali bertemu Allah pada 30 Rejab tahun 204 Hijrah..Mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa bersama dengan kita.

Wallahuaalam.


.




Monday, June 14, 2010

Jatuh hati di Matruh....

Bandaraya Kaherah yang mempunyai keluasan hampir menyamai keluasan semenanjung Malaysia. Di tambah dengan kepadatan penduduknya menyebabkan Bandaraya Kaherah sentiasa tampak padat dan sesak. Apatah lagi sekarang ini, baru sahaja bermula perubahan kepada musim soifi,selalu juga hidung terasa sukar untuk bernafas. Mungkin kerana teriknya cuaca panas di sini bercampur habuk-habuk kepulan asap kenderaan dan pepasir yang berterbangan bermaharajalela di udara.

Tapi itu semua cerita di Muhafazah Kaherah. Kita akan terasa kelainannya bila berada di Muhafazah yang lain. Hari Khamis dan Jumaat yang lepas, kami berkesempatan ke Matruh dan Siwah.Perjalanan dari Kaherah ke Matruh melebihi 500 km dan mengambil masa hampir 6 jam. Manakala daripada Matruh ke Siwah pula lebih kurang 300 km. Kalau dicampurkan kedua-dua jarak perjalanan ini,melebihi jauhnya jarak dari Perlis ke Johor Bahru.

Jalanraya di Mesir tidaklah secantik dan sehebat lebuhraya kita di Malaysia.Setiap 70 km,kerajaan menyediakan RnR. Tapi di Mesir,setelah hampir 300 km barulah ada tempat untuk berhenti rehat dan makan.Kiri dan kanan sepanjang perjalanan kami di isi dengan padang pasir yang terbentang luas.Sesekali ternampak kelibat sekumpulan unta liar di kawasan padang pasir.

Hmmm....apa yang menarik di Matruh???

bahr al-ajibah

pesisir pantai bahr ajibah


melawat hamam cleopatara

Bahr al-ajibah adalah antara laut yang tercantik di dunia. Terletak di pesisiran laut mediteranean. Dalam bahasa melayu maksudnya laut yang ajaib. Dinamakan begitu kerana lautnya yang mempunyai beberapa sempadan warna kebiruan.Memang sangat memukau sesiapa yang melawat ke laut Ajibah.Tambahan pula,di sini kita boleh melihat 7 warna pelangi dengan jelas setiap petang di hujung laut.

Dibawa juga melawat ke hamam Cleopatra, iatu tempat Cleopatra bermandi-mandian suatu ketika dahulu.Suasana hamamnya yang terletak di pesisiran pantai dengan hembusan angin laut,memukau perasaan kami di sini.Inilah petanda kebesaran Allah taala, menciptakan laut dan darat untuk kesenangan dan kebahagiaan hambanya.


hamam Cleopatra di pesisir pantai

Di Siwah kami hanya sempat melawat ke Kota lama Siwah.Menariknya tinggalan bagunan di sini, di buat daripada campuran tanah dan telur lalu di jadikan bangunan. Namun sekarang hanyalah tinggalan kesan daripada runtuhan kota ketika zaman pemerintahan Kerajan Rom dahulu.Sebenarnya penduduk Siwah suatu ketika dahulu adalah penduduk yang menyembah matahari. Namun setelah Islam datang, penduduk Siwah ini berpegang dengan teguh dengan Islam hinggalah hari ini. Dan mereka menggunakan arab azamikhiyyah sebagai bahasa harian mereka.Sebab itu, hingga sekarang loghat arab mereka agak berlaianan dan sukar untuk di fahami.


kota lama siwah

Dan tengok ni......kurma coklat dan kurma badam.Buah tangan dari Matruh untuk orang Kedah...sedap!!!!

p/s : dah jatuh hati di mesir..............nak balik x mau