Wednesday, March 17, 2010

KELAS PERTAMA


Seketika menjadi panel forum dalam majlis yang serba ringkas bersama dengan Balai Islam Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman (ASTAR). Membincangkan tajuk persoalan Mahasiswa Minda Kelas Pertama”. Terasa segan untuk menerima undangan sebagai panel kerana apabila melihat kepada persediaan dan bekal yang ada ini, belum cukup mampu untuk memberi kepada sahabat-sahabat yang lain. Apatah lagi,yang berada di hadapan adalah mahasiswa-mahasiswa dari fakulti perubatan ,alam bina dan kejuruteraan. Namun bila teringat kepada sabda Rasululah SAW :

من سئل عن علم فكتمه الجمه الله يوم القيامة بلجام من النار

Maksudnya: “Barangsiapa yang diminta untuk memberikan ilmu tetapi dia menyembunyikannya,nescaya akan dikekang mulutnya dengan kekangan api neraka.”


Mudah-mudahan sedikit perkongsian dalam forum lalu, memberikan saham akhirat kepada diriku dan sahabat-sahabat yang hadir dalam majlis ini.

Menjawab soalan bagaimana cara-cara untuk menjadi mahasiswa kelas pertama. Pertamanya, setiap manusia perlu ada hubungan denga Allah SWT. Perlu ada rasa cinta dan taqwa yang mendalam kepada Maha Pencipta Yang Esa. Kerana itu Rasulullah bersabda:

اتق الله حيثما كنت وأتبع السيئة الحسنة وخالق الناس بخلق الحسن

Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana jua kamu berada,dan kejahatan akan terhapus dengan kebajikan dan jadilah manusia yang menjadi pembentuk sikap yang baik kepada manusia yang lain.”

Kerana itu manusia yang berjaya menguasai hal dunia dan akhirat adalah mereka yang berjaya disebut al-falah. Berbeza bagi mereka yang hanya beroleh kejayaan dunia tanpa akhirat. Mereka ini sekadar digelar al-najah. Kita boleh meneliti sirah perjuangan yang hidup dalam keadaan taqwa dan berjaya membentuk malah menghasilkan ramai khalifah dan pemerintah serta manusia yang berjiwa tinggi kepada Allah Taala. Lihat saja kepada Khalifah Islam yang empat, para sahabat yang dijanjikan dengan syurga tanpa hisab, para imam mujtahid yang hebat dan ramai lagi para tabiin yang mempunyai iman dan taqwa yang mantap.

Langkah yang kedua adalah dengan menjalinkan hubungan yang baik sesama manusia. Mereka yang dapat menjalinkan hubungan silaturahim inilah mereka yang sebenarnya mempunyai minda kelas pertama. Kerana ilmu dan pengetahuan yang terdapat pada diri mereka bukan sekadar untuk diri sendiri malahan juga kepada sahabat-sahabat dan member manfaaat kepada sesiap sahaja yang berada dengannya.

خير الناس أنفعهم للناس

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang member manfaat kepada orang lain.”

Mari pula kita merenung sejenak sabda Nabi kita yang mulia:

حق المسلم للمسلم ستة : إذا لقيته فسلم عليه , وإذا دعاك فأجبه وإذا استنصحك فاصحه , وإذا عطش فحمدالله فشمته , وإذا مزض فعده وإذا مات فاتبعه .

Maksudnya: “Hak seorang muslim kepada muslim itu enam: Apabila bertemunya hendaklah kamu memberi salam,apabila menerima jemputan darinya, maka terimalah,apabila diminta nasihat berilah nasihat kepadanya, apabila sahabatmu bersin ucaplah doa kepadanya,apabila saudaramu sakit, ziarahilah dan apabila saudaramu meninggal dunia maka kunjungilah jenazahnya.”

Insyaallah, sekiranya pesanan baginda ini sentiasa menjadi peringatan kepada diri kita, tidak mustahil kita mampu untuk berada dalam golongan kelas pertama iaitu mereka yang berjaya menjaga hubungan dengan tuhannya dalam masa yang sama tidak lupa hubungan sesama manusia.


SEMOGA BERSAMA GENERASI AL-QURAN


Zahiruddin Zainon

Petaling Jaya,Selangor

Monday, March 08, 2010

HAKIKAT JEMAAH KITA

Pertamanya, aku sangat berharap mudah-mudahan dengan apa yang aku coretkan ini bukanlah mengikut nafsu dan emosi. Dengan nama Allah, sesungguhnya apa yang aku lontarkan kali ini semata-mata untuk kefahaman dan gambaran yang sering bermain di fikiranku hasil tarbiyah yang kuperolehi ketika bersama sahabat-sahabat berkelana di bumi tarbiyah suatu ketika dahulu. Seandainya coretanku ini menyentuh mana-mana pihak, terlebih dahulu diri yang berteleku hina di hadapan Allah ini, menyusun ampun dan maaf kerana bukan niat untuk merobek hati dan perasaan sesiapa.

Ya, aku akui aku bukanlah insan yang benar-benar arif dan faham kepada ilmu dan konsep gerakan jemaah.Terlalu sedikit yang aku ketahui. Lantaran itu, andai terdapat kekhilafan minta diperbetulkan dengan segera. Benarlah Allah berfirman:

وما أوتيتم من العلم إلا قليلا

“Dan sesungguhnya,apa yang diberikan kepada kamu daripda ilmuku amatlah sedikit”

Ikhwah dan akhawat sekalian, apa yang kalian faham hakikat jemaah? Dan apa pula yang sebenarnya aku faham pada konsep jemaah. Tidak mustahil, kefahaman antara kita mungkin sama dan mungkin juga berbeza sama sekali. Namun, walaubagaimana berbeza sekalipun kadar kefahaman kita, tidak boleh kita menghukum sebahagian orang yang tidak sealiran dengan kita sebagai orang yang bersalah. Tidak boleh memandang remeh kepadanya. Apatah menghukum kafir kepada mereka. Haram kita menolak kehadiran jemaah dalam kehidupan. Kerana menerima kehadiran Islam adalah perkara asas dalam diri muslim dan berintimak dalam jemaah adalah suatu cabang yang tidak boleh berpisah daripada batangnya. Hakikatnya, Junjungan Mulia kita pernah bersabda:

ليس الإسلام إلا باجماعة , ليس الجماعة الا بالقيادة,ليس القيادة إلا بالطاعة

“Bukanlah dinamakan Islam melainkan dengan berjemaah, bukan dinamakan jemaah melainkan dengan adanya pemimpin dan bukanlah namanya pimpinan melainkan hanya dengan ketaatan”

Taarif Jemaah Islam

Memetik taarif jemaah Islam daripada kitab Muhawalat Tisii :

(( أن التعريف الدقيق بالحركات الإسلامية هو تلك الجماعات التي تشترك معًا في اعتبار أحد جوانب الإسلام أو تفسيراته الإطار المرجعي لها، سواء فيما يخص وجودها وأهدافها، والتي تنشط بطرقٍ مختلفةٍ من أجل تطبيق الصورة التي تراها للإسلام في المجتمعات والدول والمجالات التي توجد بها )).

) Bahawa taarif yang terperinci tentang harakah islamiyah adalah sdalah kumpulan-kumpulan yang bergabung bersama untuk menimbangkan satu aspek daripada tafsiran Islam atau rangka rujukan. Sama ada, baik mengenai hala tuju dan tujuan, yang aktif dengan cara yang berbeza untuk mengaplikasikan teori dan gambaran yang kita lihat Islam dalam masyarakat dan negara-negara serta wilayah-wilayah yang ada(

Hakikat hidup Berjemaah

Kenapa kita pada hari ini sukar untuk memahami hakikat jemaah. Bukankah hidup berjemaah itu suatu keperluan pada diri kita. Apatah lagi bila bergelar muslim dan mukmin. Hakikatnya, orang-orang yang bukan bergama Islam juga hidup dalam berjemaah. Namun jemaah mereka sangat jauh berbeza dari konsep jemaah muslim.

Jemaah adalah semata-mata satu bentukan atau wasilah untuk memudahkan dan meringankan tugasan dan kerja-kerja kita.Yang terlebih penting,adalah sebagai usaha untuk Islam dilihat sebagai satu firaq yang digeruni oleh pihak musuh dan kafir kerana hidup dalam satu pasukan dan saling bantu - membantu. Firman Allah Taala:

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان

“Dan saling bantu membantulah antara kamu dalam urusan kebaikan dan ketaqwaan,dan janganlah kamu saling bantu membantu dalam urusan dosa dan bermusuhan.”

Itulah pentingnya hidup berjemaah. Sepertimana kisah biri-biri yang hidup dalam berkelompok pasti akan selamat daripada dibaham serigala.

يد الله مع الجماعة وإنما يأكل الذئب من الغنم القاصية

Kekuatan Allah itu bersama-sama dengan jemaah.Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang terpisah daripada kumpulannya

Akan tetapi jika kita perhatikan sekarang terutamanya pada diri mahasiswa dan mahasiswi yang bijaksana pemikiran mereka petah pula bicaranya, sekadar melaungkan-laungkan kepentingan berjemaah dalam kehidupan kampus semata-mata. Hidup penuh dengan berjuang dan sifat memberi kepada sahabat-sahabat di sekeliling mereka. Siang dan malam dikorbankan untuk cita-cita tertinggi. Panas dan petir diredahi bersahaja. Secara peribadi, amat kagum dan puji sifat pada diri sahabt-sahabat saya ini. Sikap dan semangat juang yang amat perlu sebagai uswah dan qudwah kepada orang Islam sekalian.

Namun disebalik keghairahan itu, tidak sampai separuh pun yang mampu untuk turut berjuang bersama-sama dengan masyarakat sekitar. Kenapa kita mesra bila bersama masyarakat kampus, tetapi kekok bila bersama masyarakat umum? Kita giat dengan majlis-majlis rasmi dalam kampus tetapi mengapa kenduri dan majlis-majlis keraian bersama masyarakat sukar untuk menabur komitmen? Susah sangatkah untuk kita meringakankan mulut berbual-bual bersama jiran tetangga? Bukankah mereka juga satu jemaah yang perlu kita turut serta. Sahabat-sahabat, itu juga adalah medan tarbiyah. Bahkan inilah medan tarbiyah dan dakwah yang sebenar.Segala yang berada dalam kampus,semata-mata adalah medan untuk melatih diri kita bersama nenabur bakti dan dakwah kepada penduduk satu hari nanti. Jemaah di kampus tidak pernah retorit, tidak juga hipokrit, tetapi sebilangan kecil daripada kita yang seolah-olah menjadikannya sedemikian rupa.

Jika tarbiyah yang kita laungkan dalam kampus, di luar kampus juga perlu kita teruskan. Jika sifat memberi yang kita amalkan dalam kampus, dengan masyarakat kampus perlu lebih lagi kita memberi dengan ilmu dan pengetahuan yang kita ada. Dengan tenaga dan kudrat yang Allah kurniakan.

Rasulullah bersabda:

من أصبح لا يهتم للمسلمين فليس منهم

“Barangsiapa yang menjadi golongan yang tidak menghiraukan kepada urusan orang-orang Islam, maka dia bukan daripada orang Muslim”

Ikhwah dan akhwat sekalian, sememangnya menjadi kesalahan yang nyata amat besar sekiranya saya berpendirian bahawa jemaah itu tidak penting. Saya sangat-sangat tidak menolak kehadiran jemaah dalam hidup, malahan sentiasa terpanggil untuk terus berdiri bersama jemaah hingga akhir hidup. Akhir kata, sabda Rasulullah SAW :

المسم للمسلم كالبنيان المرصوص يشد بعضه بعضا

“Muslim dengan muslim itu seperti sebuah binaan yang kuat dan tersusun. Sebahagiannya memperkuatkan yang lain.”

Wallahua'alam.





SEMOGA BERSAMA GENERASI AL-QURAN


Zahiruddin Zainon
Petaling Jaya,Selangor

Sekitar Sambutan Maulid Damansara Bestari

Salam sayang dan kerinduan untuk Jujungan Mulia Nabi Muhammad SAW penghulu sekalian alam. Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam kalangan umat yang sentiasa terbuka untuk beramal dengan sunnah baginda yang teragung.

Banner PMIUM yang dikitar semula



Paluan kompang anak-anak muda kawasan

Persembahan nasyid dan selawat ... sedap!

Ahhhhh...qari import kami!

Ustaz Azhar..penceramah jemputan

Semalam sempat mengikuti Sambutan Mulid Al-Rasul yanng dianjurkan oleh surau kawasan rumah saya sekarang. Alhamdulillah, masyarakat sekitar yang memahami dan masih lagi berada dalam biah untuk mengingati penghulu segala nabi ini. Saban tahun majlis ini memang diadakan. Bermula dengan perarakan sambil berselawat di sekitar flat kami ini diiringi dengan paluan kompang anak-anak kecil dan payungan bunga manggar. Selepas solat maghrib, persembahan bacaan al-Quran dan nasyid daripada anak-anak setempat. Selepas Isyak, ceramah memperingati baginda daripada Ustaz Azhar, pensyarah UIAM. Banyak maklumat-maklumat baru dan menarik yang boleh dikongsi daripada beliau.

Cuma, saya tercari-cari keterlibatan sahabat-sahabat pimpinan mahasiswa, tidak pernah kelihatan dalam aktiviti begini. Sibuk barangkali. Harap nanti antum dapat turun bersama menyumbang untuk masayarakat kita. Inikan jemaah juga.


SEMOGA BERSAMA GENERASI AL-QURAN


Zahiruddin Zainon

Petaling Jaya,Selangor