Sunday, February 20, 2011

Duka Dalam Suka

Sekarang ni tengah hangat pilihanraya kampus. Terutamanya di Universiti Malaya. Memang selalu ada kes panas setiap tahun. Rasuah, kepala babi, ugutan dan macam-macam lagi. Tahun ni, kecoh pula, seorang calon wanita Pro-M tiba tiba hilang tengah berkempen di kawasan perumahan. Seorang kawannya meracau-racau tak sedar diri.

Maka timbullah provokasi sonsang dan "fatwa" palsu dan menipu mengaitkan kehilangan ini dengan jin islam. Entah di mana salahnya "hamba Allah" tu. Kesian dia.

Subhanallah...cepatnya kita menghukum. Saya tidak menolak ada kemungkinan berkaitan dengan mistik, tapi bukan ini caranya.

Sepatutnya kita meletakkan beberapa kemungkinan. Bukannya terus berhukum dengan hukum mistik.

Boleh jadi, dia menghilang kerana faktor lain. Mungkin diculik, sabotaj pihak lawan. Mungkin juga mangsa tertekan.

Ada yang minta supaya di doakan supaya selamat sejahtera. Tapi perlu faham, bukan saya seorang berdoa, tapi kita semua perlu doa bersama. Dalam ikhtiar, ada ibadatnya barulah dapat pahala.

Tapi, secara peribadi saya agak kecewa dengan sikap segelintir dari mereka yang sengaja meraih publisiti murahan. Kononnya telah berdialog dan berinteraksi dengan makhluk terbabit dalam tidak sedar.

Ini lah manusia yang lalai dalam taat, maksiat dalam ibadat, dosa dalam pahala. Mudahnya syaitan memasukkan jarum maksiat dalam diri kita.

Tidakkah kita meneliti al-quran


Allah berfirman (mafhumnya): “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.”
(Surah al-An’aam ayat 59)

Sibuklah mereka melakukan upacara "scan" di sana sini. Semalam kata di sana. Hari ini di sini pulak. Agak lucu melihat gelagat mereka yang pura-pura sibuk dan hebat depan orang ramai. Kalau orang tak datang, tak ada pulak yang nak "scan-scan."

Perihal "scan" ini atau gangguan jin dan sebagainya, adalah perkara ghaib.

Mengetahui penyakit dengan cara ‘scan’ sebegini adalah juga ghaib. Perihal mendakwa mengetahui yang ghaib adalah perkara yang amat serius dalam syariat Islam. Tidak boleh begitu.

Firman Allah (mafhumnya): “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun.

“Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).” (Suratul Jin, ayat 26-27)



Lagi teruk, hingga menyebabkan ada yang bertelagah dengan penduduk setempat gara-gara mendakwa mangsa disembunyikan di situ. Bukankah ini mengundang fitnah dalam masyarakat. Kecewa!!!

Subhanallah.

Secara tidak sedar, masa yang sepatutnya untuk berkempen, tetapi terbuang dek kerana ramai yang menunggu kalau-kalau berlaku keajaiban di situ. Orang hilang muncul tiba-tiba muncul.

Walaupun saya sempat membantu calon-calon untuk mendoakan keselamatan bersama-sama mereka sambil memperingatakan sepatah dua tentang apa yang terjadi, namun jauh di hati, masih geram bila teringatkan aksi-aksi golongan"scan" ini.

Dibelakang kita, siapa tahu, entah-entah pihak lawan tersenyum riang melihat kerenah kita. Syaitan bersorak gembira dengan helahnya menipu manusia.

Kalau benar ada kaitan dengan jin, perbanyakkan ibadat dan gunakan kaedah "ikhtiar" yang halal. Benda ini perlu belajar dari guru bukan dari buku.

kalau di sebabkan sabotaj, pertingkatkan doa mudahan Allah membuka hati mereka yang terlibat.

Sudah nampak rapuhnya akidah. Jelas nipisnya iman kita. Baru sikit di uji, sudah gelabah.

Suka kerana sebarkan dakwah dalam kempen, tapi duka bila syirik turut sama berlaku.

Saya doakan semoga selamat dan ingat, kita sentiasa di bawah jagaan Allah.

Insyaallah Pro-M UM najah!!! tapi jangan lupa akidah perlu di utama, syariat perlu di pelihara.

P/S":
Boleh rujuk dalam kitab al-Sadram al Battar fi al -Tasaddi Lissaharati al-Asyrar